Monday, June 27, 2011

Bahasa Melayu - Bahasa Sanskrit

Bismillah

Bahasa Melayu mempunyai persamaan yang banyak dengan Bhasa Sanskrit. Jika seorang Melayu bertutur 10 patah perkataan, 5-7 patah perkataan adalah Bhasa Sanskrit. Beberapa perkataan Melayu yang sama dengan Sanskrit telah disenaraikan di sini;


Ada yang berpendapat kononnya Bahasa Melayu berasal dari Bahasa Tamil. Oleh itu, mari kita lihat sendiri beberapa perkataan Tamil yang berasal dari Bhasa Sanskrit tetapi jika dibandingkan dengan perkataan Bahasa Melayu, nampaknya perkataan Sanskrit itu lebih dekat dengan Bahasa Melayu;

 Bhasa Sanskrit       Bahasa Melayu       Bahasa Tamil
1.   agama                                   agama                              agamam
2.   akasa                                    angkasa                           akasam
3.   bhasa                                    bahasa                              pasai
4.   bhaya                                    bahaya                             abayam
5.   cakra                                    cakera                              cakkaram
6.   danda                                   denda                                dhandam
7.   dharma                                 derma                               dharmam
8.  desa                                      desa                                  desam
9.  gaja                                       gajah                                gajam
10. jiva                                       jiwa                                   jeevan
11. nagara                                 negara                              nakaram
12. putra                                    putera                               puttiran
13. putri                                     puteri                                puttiri
14. raja                                      raja                                   rajan
15. udara                                   udara                                udanan

Oleh itu, adakah kita boleh menerima Bahasa Melayu sebagai berasal dari Sanskrit? Mungkin....tetapi terdapat pula perkataan Melayu sendiri bagi maksud yang sama dengan Sanskrit dan orang Melayu menggunakan kedua-duanya. Contohnya suria adalah Sanskrit tetapi perkataan Melayunya matahari. Begitu juga raksasa adalah perkataan sanskrit bagi gergasi. Terdapat juga perkataan-perkataan Melayu lain yang tidak sama dengan bahasa lain.

Selain itu terdapat pula perkataan Sanskrit yang mempunyai dua makna dalam Bahasa Melayu. Contohnya 'simha' dalam Sanskrit bermaksud 'singa' atau 'singgah'. Simhapura(Singapura) contohnya mungkin bermaksud 'tempat singgah'. Melayu maritime dahulu memang singgah merata-rata dalam perjalanan seperti diceritakan dalam HMM;
Bab 3,m.s. 15;" ....sa-buah bahtera itu hendak singgah kepada pulau itu kerana keputusan ayer dan kayu..."
WAllahua'lam.

Di sini saya ingin ketengahkan perkataan gergasi dan raksasa kerana ia digunakan dalam HMM.
Bab 2, m.s.7; "...suka ia beristeri akan anak raja gergasi kerana puteri itu kecil lagi baik rupa parasnya dan asal bondanya dari raksasa."
Jika ia mempunyai maksud yang sama, mengapa 'Fakir' menggunakan kedua-duanya? Ia seolah-olah seperti 'Fakir' ingin mengisyaratkan sesuatu atau 'Fakir' memang tidak tahu mengapa kedua-dua perkataan ini diguna tapi begitulah kisah yang didengar sejak turun-temurun. Masa kejadian dan masa penulisan HMM ini adalah lebihkurang 2000 tahun(jika kejadian ialah pada zaman Nabi Sulaiman a.s.). Jarak masa ini sudah tentu boleh menyebabkan sesuatu perkataan yang mempunyai makna yang sama dalam bahasa sesuatu bangsa disalaherti penggunaannya. Apatah lagi perkataan itu hanya dibawa dari mulut ke mulut.

Walaupun dalam bahasa Melayu gergasi dan raksasa mempunyai makna yang hampir sama tetapi 'rakhshasa' dalam Bahasa Sanskrit mempunyai satu makna yang lain. Ia bermaksud 'penghormatan yang diberikan kepada satu bangsa yang memelihara moral, etika dan warisan kebangsaannya'.


Tetapi di dalam mitologi agama Hindu, 'manusyha Rakhshasa'(manusia raksasa?) digambarkan dengan begitu negatif. Mereka digambarkan sebagai pemuja Dewa tertentu(Buddha?). Setelah mereka mendapat anugerah, mereka menjadi takabur dan beransur-ansur menjadi jahat. 
Siapa manusia Raksasa yang dimaksudkan ini? Mungkinkah jahat yang dimaksudkan itu ialah bertukar ke agama lain?

Rakhshasa yang dimaksudkan dalam Sanskrit ialah satu bangsa yang kini dikenali sebagai Rakhine. Menurut 'Rakhine Chronicle', perkataan Rakhine berasal dari perkataan Pali 'Rakhapura' iaitu  negeri orang Rakhshasa (Rakshasa>Rakha> Rakhine). Mereka ini kebanyakannya tinggal di tempat bernama Arakan di persisiran pantai barat Myanmar di negeri Rakhine/Arakan.

Mereka juga berada di tenggara Bangladesh terutama di Chittagong dan Barisal. Mereka yang berada di Chittagong Hill Tracts di panggil Marma. Pada masa dahulu, Kerajaan Arakan pernah berkembang hingga ke Tripura, India. Rakhine yang berada di Tripura kini dipanggil Mog.




Ini ialah antara gambar bangsa Rakhine sekarang yang berada di Myanmar;

Walaupun bukti arkeologi di Dhanyawadi setakat ini hanya mendedahkan bukti bertarikh seawal Abad 1M sahaja, menurut chronicle tersebut, Kerajaan Rakhine/Arakan ditubuhkan oleh Raja Marayu (Melayu?) seawal 3325 SM iaitu lebih dari 5000 tahun dahulu. Kerajaan terakhir, Kerajaan Mrauk-u  memerintah sehingga tahun 1784M. Sejak 146M di bawah pemerintahan Raja Chandra Surya, kebanyakan Rakhine beragama Buddha. 
Bagaimanapun, perkembangan bangsa ini ke sebelah Timur tidak diketahui.

Jika inilah raksasa/gergasi yang dimaksudkan dalam HMM, maka mereka mungkin juga telah berada di Nusantara 5000 tahun dahulu. Ini sesuai dengan HMM tentang Rama dan Hanuman;
Bab 2,m.s.3; "Sa-bermula maka tersebutlah perkataan pulau Langkapuri itu, selama perang Seri Rama dan Anduman, jadi sunyilah pulau itu, tiada siapa2 dudok."


Sanskrit diterima sebagai bermula di Uttarakand, India dekat pergunungan Himalaya.
Jika raksasa/gergasi ini juga dimaksudkan 'Melayu' keturunan Rakhshasa ini, maka tidak hairanlah Bahasa Melayu mempunyai banyak persamaan dengan Sanskrit kerana bangsa rakhshasa ini pernah tinggal di Utara India juga.


Sekarang kita fokus kepada perjalanan kedua-dua bahtera Merong Mahawangsa dan anak raja Rum pula. Ada yang berpendapat selepas mereka diserang oleh Garuda dekat pantai di Kalinga, perjalanan Merong untuk sampai ke Langkasuka seolah-olah dari selatan Selat Melaka kerana terdapat tempat bernama Kuala Changgong, Morib dan lain-lain yang semuanya perkataan Melayu.

Nama-nama tempat dalam perkataan Melayu di persisiran pantai masih wujud hingga kini seperti di Myanmar terdapat Kampong Tengah dan Kampong Ulu. Ada pula nama pulau yang ditulis 'Pulo'. Namun terdapat juga pulau yang telah ditukar ke nama-nama orang Barat;

Nama Melayu digunakan juga di Thailand dengan sedikit perubahan bunyi mengikut lidah orang Thai. Dari Atlas Sedjarah dari Indonesia, jelas bahawa Nakhon Si Thammarat ialah Nagara Sri Dharmaraja.
Jika ditanya kepada orang Thai apakah makna Bangkok, mereka akan berkata ia adalah nama Ibunegara mereka sedangkan dalam bahasa Melayu ia bermakna 'bengkok'. Orang Melayu pada zaman dahulu terkenal sebagai pelayar. Mungkin kerana untuk ke timur atau ke barat dengan kapal menyusuri pantai mereka terpaksa 'membengkok' di situ, maka mereka memberi nama tempat itu 'bengkok'. WAllahua'lam.



Berikut ialah ringkasan perjalanan Merong Mahawangsa tersebut; Kuala Changgong, Kelinggi - Kuala Tawai - Kuala Parit - Kuala Morib - Pulau Salang - Tanjung Hujung Salang(Bahtera anak raja Rum sahaja) - Langkasuka.

Kuala Changgong bunyinya seperti satu tempat di Bangladesh iaitu Chittagong. Jika diperhatikan Chittagong dengan Google map secara dekat, kelihatan satu tempat bernama Chandgaon dan ke utara terdapat pula Uttar Chandgaon(Utara Changgong?)



Tetapi HMM menyebut rajanya bernama Kelinggi;
Bab 3 m.s. 9; "Maka sampailah ke laut Kuala Changgong namanya dan nama rajanya negeri itu Kelinggi."
Dua andaian boleh dibuat di sini;
1. Negara Kelinggi berada di Bangladesh ketika itu.
2. Negara Kelinggi telah berkembang dari Bangladesh ke Selatan Orissa,India.(tempat ditanda dalam Atlas Sedjarah).

Jika kita memulakan perjalan Merong dari Chittagong, perjalanannya seperti berikut;



Tempat pertama disebut selepas Kuala Changgong ialah Kuala Tawai.

Walaupun tidak terdapat nama Tawai atau Kuala Tawai tetapi terdapat dua tempat yang bernama Tawai iaitu;
A - Tawai, Arunachal Pradesh, India.
B - Tawai, Santi Suk Nan, Thailand.
Maka tidak mustahil terdapat tempat bernama Kuala Tawai suatu ketika dulu di Myanmar.

Myanmar sebenarnya berada di atas tebing kepingan benua (tectonic plate). Ini mendedahkan Myanmar kepada bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami. Sebagai contoh, tsunami di Aceh pada tahun 2004 disebabkan gempa bumi yang menggerakkan tebing kepingan tektonik yang sama. Pergerakkan yang banyak di tebing ini menyebabkan dasar laut berbentuk melengkung seperti yang dapat dilihat dalam gambar Google Earth ini;

Dalam jangkamasa 3000 tahun (andaian kejadian sezaman Nabi Sulaiman a.s.), sudah tentu bentuk muka bumi di kawasan pantai Myanmar banyak berubah. Mungkin terdapat kuala yang sudah membentuk delta baru dan tidak lagi berupa kuala asal.

Mengikut turutan dalam perjalanan, 3 kuala dilalui iaitu Kuala Tawai, Kuala Parit dan Kuala Morib. Apabila disebut Kuala, sudah tentu ia hilir sebuah sungai. Kebetulan di Myanmar terdapat 3 sungai yang panjang - lihat peta.

Paling barat ialah Sungai Kaladan yang mungkin hilirnya bernama  Kuala Tawai mengikut perjalanan Merong pada masa dulu.

Kemudian yang paling panjang ialah Sungai Irrawaddy. Di hilir sungai ia berpecah menjadi anak-anak sungai dengan banyak delta terbentuk yang mungkin pada masa dahulu berbentuk parit sahaja (Kuala Parit?).

Akhir sekali Sungai Salween. Di hilir sungai ini terdapat tempat bernama Moulmein (Kuala Morib?).

Kemudian mereka sampai pula ke Pulau Salang ;
Bab 3, m.s. 15; "Antara berapa hari lama-nya belayar itu lalu kelihatan-lah pula Pulau Salang antara laut Bangtapan (Laut Andaman?) namanya." 
Nama Pulau Salang mungkin ditukar oleh penjajah Barat kerana terdapat banyak pulau di situ yang telah ditukar ke nama-nama orang barat. Bagaimanapun terdapat satu tempat di Phuket yang bernama Thalang;


Ia kelihatan seperti tanjung dan bahagian hujung selatannya itu mungkin dipanggil Tanjung Hujong Salang. Phuket pula memang sudah dekat dengan Langkawi (dengan mengandai Langkapuri ialah Langkawi);
Bab 3,m.s. 16; "..adalah kira2 sa-hari sa-malam lagi hendak sampai ka-pulau Langkapuri.."


Sekarang kita lihat pula satu lagi perkataan sanskrit iaitu 'wangsa'.
Di Malaysia, perkataan 'wangsa' sudah tidak diketahui lagi maksudnya dan ada yang menganggap ianya bermaksud 'bangsa'. Banjaran Titi'wangsa' yang begitu besar hanya dianggap satu nama kepada Banjaran tersebut. Tetapi di Indonesia, perkataan ini masih difahami dan ia membawa maksud 'Dinasti' dalam Bahasa Sanskrit.

Wangsa yang dikatakan masih bertakhta hingga kini ialah;
1.  Wangsa Saud di Arab Saudi
2.  Wangsa Al Khalifa di Bahrain
3.  Wangsa Wettin di Belgia
4.  Wangsa Wangchuck di Bhutan
5.  Wangsa Schleswig-Holstein-Sonderburg-Glucksberg di Denmark
6.  Wangsa Kekaisaran Jepang di Jepun
7.  Wangsa Hasyimiyah di Jordan
8.  Wangsa Liechtenstein di Liechtenstein
9.  Wangsa Nassau-Weilburg di Luksemburg
10. Wangsa Grimaldi di Monaco
11. Wangsa Alawiyah di Maroko
12. Wangsa Orange-Nassau di Belanda
13. Wangsa Schleswig-Holstein-Sonderburg-Glucksberg di Norway
14. Wangsa Al-Thani di Qatar
15. Wangsa Al Bu Sa'id di Oman
16. Wangsa Bourbon di Sepanyol
17. Wangsa Dhlamini di Switzerland
18. Wangsa Bernadotte di Sweden
19. Wangsa Chakri di Thailand
20. Wangsa Windsor di Britain

Kesemua negara yang disebutkan di atas masih mempunyai pemerintahan beraja. Malaysia mempunyai paling ramai Raja berbanding semua negara di dunia tetapi dari manakah asal-usul Raja-raja kita atau apakah 'Wangsa' raja-raja Melayu ini?

Indonesia mengakui pada masa dahulu terdapat Wangsa Sailendra yang ditubuhkan oleh Kerajaan Mataram. Oleh itu, mungkinkah Raja-raja di Malaysia dari Wangsa Sriwijaya?...ditubuhkan oleh Kerajaan Kedah Tua?


Dalam tahun 1918 Ir. L. Moens dalam terbitannya Crivijaya, Yava en Kataha (T.B.G.LXXVII), berdasarkan berita-berita Tionghua dan Arab membuat kesimpulan bahawa Sriwijaya itu mula-mula berpusat di Kedah dan kemudian di daerah pertemuan sungai Kampar Kanan dan Batang Mahat.


Prof. Dr. Slamet Muljana, dalam bukunya Sriwijaya LKiS, 2006 juga mengakui hal ini dan menambah lagi; m.s. 286; "Wilayah Sriwijaya terlalu luas. Pengawasannya tidak mudah. Kekuatan Sriwijaya terbagi menjadi dua. Sebagian ditempatkan di Kedah sebagai pusat Sriwijaya di Semenanjung; sebagian lagi di Palembang sebagai pusat Srwijaya di Sumatra."


Kita fokus pula pada perkataan Melayu; Kecapi. Pernahkah kita lihat alat muzik ini? Di Malaysia, kecapi sudah tidak diketahui lagi. Malah ada yang tidak tahu ia adalah alat muzik. Ini mungkin kerana Islam melarang bermain dengan alat muzik bertali . Namun begitu, kita mempunyai peribahasa berbunyi;

Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.


Alat muzik kecapi ialah antara yang disebut dalam HMM semasa zaman Raja Merong Mahawangsa;
Bab 6, m.s.42; "...serta dengan segala permainan daripada gong, gendang, serunai, nafiri, harbab, kechapi, dandi, muri, kopak, cherachap, serdam, bangsi, nakara..."
Kecapi masih digunakan lagi di Indonesia;


Pada zaman Nabi Daud a.s., 2 jenis kecapi digunakan iaitu Lyre dan harp(Kinnor). Ia juga adalah lambang alat muzik Israel.


Pada zaman Nabi Sulaiman a.s., tali kecapi ini ditukar ke dawai (besi) dan bunyinya amat digemari oleh orang Rom. Secara tidak langsung, ini juga menunjukkan orang Rom memang kenal Nabi Sulaiman a.s..
WAllahua'lam.

Pos seterusnya; Bangsa Rakshasa - Bangsa Malla
http://hmm-asal.blogspot.com/2011/07/bangsa-rakshasa-bangsa-malla.html